"11 AMALAN YANG TERBALIK"
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang
amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah
terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh
Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut
dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah
sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk
keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam
berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau
ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya
kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke
kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi
makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas
dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid,
pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu
perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan
nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri
sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri
pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari
bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat
kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM200.00 tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulanpun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang,
mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi
peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak
ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia be gin i,
rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak,
bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
11. Kita cukup teruja untuk meng'forward' kan sms atau emel dalam bentuk
gossip2 artis kepada kawan2.Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak
benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain.Tapi kenapa susah sangat nak
forward emel2 peringatan sebe gin i kepada kawan2 kita??.....
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)
Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua insyaallah Wassalam.
Jumaat, 20 Ogos 2010
Isnin, 2 Ogos 2010
Kenyataan akhbar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) pada hari ini, kami telah membuat beberapa ketetapan sepertimana berikut:
1) Pemuda UMNO menyambut baik keputusan Kerajaan membenarkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk aktif di dalam parti politik. Namun Pemuda UMNO berpendapat janganlah sampai pemahaman politik guru-guru ini di bawa masuk ke bilik darjah. Walaupun mereka kini dibenarkan aktif dalam politik, tahap profesionalisme mesti sentiasa dijaga dan ditingkatkan.
Pada masa yang sama Pemuda UMNO berharap agar keputusan ini diperluaskan bagi merangkumi golongan mahasiswa dan pensyarah di institusi-institusi pengajian tinggi.
Kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya golongan mahasiswa dibenarkan terlibat secara bebas dalam politik dan menggesa Kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kearah ini.
2) Pemuda UMNO memohon agar Kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem saman ekor lanjutan pelbagai masalah yang telah timbul di mana ramai pemilik kenderaan tidak tahu menahu mengenai saman yang telah dikeluarkan terhadap mereka. Antara lain, pemilik kenderaan yang menganggap diri mereka tidak bersalah atas saman tersebut atau langsung tidak menerima apa-apa notis saman terpaksa membayar saman berkenaan semata-mata untuk membolehkan pembaharuan cukai jalan dan mengelakkan dari didakwa. Pemuda UMNO menganggap perkara ini adalah tidak adil bagi para pemilik kenderaan dan berharap agar Kerajaan akan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan sistem saman ekor.
Kami juga menggesa Kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak membenarkan saman tersebut dikompaun. Keputusan ini juga amat membebankan rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan.
3) Pemuda UMNO memohon penjelasan dari Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, berkenaan arahan beliau kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan dari ahli politik. Arahan KSN memberi gambaran seolah-olah surat sokongan ahli politik adalah suatu tindakan menyalah gunan kuasa. Di sini Pemuda UMNO membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan sebagai tindakan salah guna kuasa oleh ahli politik kerana seringkali wakil rakyat menyokong permohonan rakyat bukan atas pertalian politik tetapi semata-mata mahu membantu rakyat. Kes-kes ini bukan hanya melibatkan kontrak atau perolehan Kerajaan tapi kebanyakkannya adalah permohonan untuk biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan.
Surat sokongan ahli politik juga diperlukan apabila pemohon gagal mendapat layanan yang baik dan adil dari jabatan kerajaan berkenaan. Walaupun Pemuda UMNO berpendapat majoriti kakitangan awam bersikap profesional, ada segelintir Napoleon kecil yang tidak layan pelanggan mereka, yakni rakyat biasa, dengan baik dan adil. Adalah diharapkan KSN dapat memberi penjelasan dalam hal ini.
Sumber: www.rembau.net.my
Khairy Jamaluddin: Isu "Diskaun Bumiputera", satu lagi usaha DAP menolak kepentingaan BUMIPUTERA!!!

YB Khairy Jamaluddin hari ini membantah saranan Tony Pua untuk memansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah. YB Khairy menganggap ini satu lagi usaha menolak tepi kepentingan masyarakat Bumiputera.
Antara lain khairy mengatakan telah memberi statistik pemilikan hartanah bumiputra amat rendah kepada kaum lain.
Menurut Khairy didalam blog beliau www.rembau.net.my ... Kita sudah mendengar pelbagai reaksi dan ulasan terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua, kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pembelian rumah berharga RM500 ribu ke atas dan hartanah komersial berharga lebih RM2 juta di negeri tersebut.
Ramai pihak, termasuk PAS Selangor, membantah cadangan tersebut. YAB Perdana Menteri sendiri telah mengingatkan YB Tony Pua dan parti DAP supaya jangan "terlalu menekan orang Melayu dan Bumiputera" dengan cadangan-cadangan yang tidak sensitif dan separuh masak. Cadangan terbaru dari DAP rata-rata dilihat sebagai satu lagi usaha untuk menolak tepi kepentingan masyarakat Bumiputera. Saya percaya tanggapan itu juga telah mendorong PAS Selangor untuk membantah cadangan tersebut dan menyebabkan Ketua Umum PKR, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, terus membisu dalam hal ini.

Di sini perlu saya tegaskan, saya sudah berkali-kali menyuarakan keperluan untuk orang Melayu berani keluar dari kepompong zon selesa dan tidak hanya berharap pada tongkat. Saya mahu melihat masyarakat Bumiputera bersaing secara terbuka berdasarkan merit dan kekuatan sendiri. Hujah-hujah saya dari awal konsisten, yakni Kerajaan perlu membantu golongan Bumiputera yang benar-benar layak menerima bantuan sama ada dari segi keperluan atau merit.
Mungkin di sini ada yang tertanya, kalau begitu prinsip dan pegangan saya, kenapa pula saya tidak menyokong saranan Pua? Apa yang dicadangkan oleh Pua itu cuma pemansuhan diskaun untuk rumah-rumah yang boleh dikatakan rumah kos tinggi dan juga premis komersial yang agak mahal. Bukankah sudah tentunya mereka yang mampu membeli hartanah seperti ini merupakan individu dan syarikat yang sudah berjaya, maka mereka tidak lagi memerlukan diskaun tersebut?
Sekiranya dilihat dari kanta teori ekonomi semata-mata, mungkin ada yang akan bersetuju dengan rasional cadangan Pua. Kenapa perlu kita kekalkan diskaun kepada mereka yang mampu membayar jumlah yang besar untuk rumah kos tinggi? Tetapi hakikatnya, sekiranya kita melihat kepada pegangan hartanah Bumiputera di setiap peringkat, angkanya jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
Statistik pada tahun 2007 menunjukkan peratus pemilikan bangunan oleh Bumiputera cuma 15.7 peratus. Bagi hartanah komersial pula, Bumiputera hanya memiliki sekitar 29.2 peratus untuk kompleks perniagaan dan serendah 3.5 peratus untuk premis perindustrian. Statistik ini menggambarkan suatu ketidakseimbangan yang terlalu ketara.
Sekiranya kita mengambil kira premis-premis komersial di kawasan bandar dengan harga RM 2 juta ke atas, saya percaya peratus pegangan Bumiputera begitu rendah. Antara faktor penentu kos sesuatu premis adalah lokasi, dan bukan semata-mata saiz atau keluasan. Sekiranya cadangan Pua dilaksanakan, maka amat sukar bagi usahawan-usahawan Bumiputera untuk berniaga di lokasi yang strategik lantas hanya terhad kepada pinggiran bandar semata-mata.
Satu lagi hujah Pua adalah hartanah yang dibeli dengan harga diskaun ini dijual semula oleh broker atau orang tengah dengan harga yang lebih mahal. Beliau menegaskan bahawa salah guna dasar seperti penjualan semula oleh broker menjadi salah satu sebab skim diskaun ini perlu dimansuhkan. Saya tidak langsung boleh menerima alasan ini kerana jika pelaksanaan menjadi masalah, maka wajarlah kita menangani kelemahan tersebut dan bukannya memansuhkan terus dasar diskaun Bumiputera ini.
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pelaksanaan adalah memastikan bahawa status dan klasifikasi lot Bumiputera tidak diubah bagi mengelak sebarang pihak yang membeli hartanah tersebut dengan harga diskaun dan menjualnya dengan keuntungan harga pasaran secara terbuka. Perlu diingat bahawa diskaun tersebut berkait rapat dengan galakan pemilikan dan bukan suatu tiket kepada keuntungan. Satu lagi masalah berkait adalah di mana pemilik Bumiputera menjual kepada seorang pembeli Bumiputera lain dengan harga pasaran yang lebih tinggi. Isu ini boleh ditangani dengan mewajibkan satu tempoh khusus atau “moratorium” sebelum seseorang pemilik yang membeli rumah dengan harga diskaun Bumiputera dibenarkan menjual semula rumah tersebut, walaupun kepada Bumiputera lain. Ini akan mampu mengelakkan masalah di mana dasar diskaun ini disalahgunakan untuk keuntungan cepat, dan bukannya digunakan oleh mereka yang benar-benar berniat tinggal di sesuatu kediaman.
Ada juga dakwaan yang kita dengar mengenai pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab sengaja menipu dengan mengisytiharkan kuota untuk Bumiputera tidak boleh dijual dan seterusnya memohon kepada pihak berkuasa agar hartanah tersebut dijual kepada bukan Bumiputera atas harga tanpa diskaun. Semua ini merupakan isu-isu berkait dengan dasar tersebut yang tidak disentuh dan dikaji oleh Pua sewaktu memberi hujah-hujah cetek dan separuh masak beliau.
Maka saya menolak cadangan DAP berhubung pemansuhan diskaun atassebab-sebab di atas. Jika pemansuhan tersebut dilaksanakan, maka segala usaha dan galakan memperbetul ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah di Selangor pastinya akan gagal lantas terus melebarkan jurang ekonomi antara kaum.
Saya percaya pendirian saya ini akan mengundang kritikan - khususnya akan ada komen kononnya cadangan DAP ini tidak akan memberi kesan kepada Bumiputera berpendapatan rendah. Namun, saya berpandangan bahawa komen sebegini kurang tepat dan simplistik sepertimana hujah YB Tony Pua. Usahawan Bumiputera yang cuba membeli premis komersial berharga RM2 juta tidak boleh diklasifikasikan sebagai 'kaya', sepertimana juga mereka yang mahu membeli rumah berharga RM600,000. Barangkali dasar diskaun Bumiputera ini boleh disemak untuk kategori yang lebih tinggi, contohnya di atas nilai RM2 juta bagi pembelian rumah banglo. Malah YAB Perdana Menteri sendiri menyebut bahawa dasar ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Dalam erti kata lain, dasar ini boleh diubah dan dikemaskini dalam jangka masa panjang, tetapi bukan sebelum pemilikan hartanah diseimbangkan lagi.
Saya juga amat kesal dengan saranan Pua kerana beliau langsung tidak mencadangkan sebarang dasar lain untuk memperbetul ketidakseimbangan ini, jikapun tidak bersetuju dengan diskaun 7 peratus tersebut. Ini jelas mendedahkan bahawa DAP tidak ikhlas malah tiada niat untuk membantu agenda Melayu, walaupun mereka tidak henti-henti cuba menjaja persepsi kononnya DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.
Saya berharap kelak, sebelum mereka mengeluarkan sebarang cadangan seperti ini, mereka akan dapat memberi alternatif bagaimana masalah asas iaitu ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah dapat ditangani. Sekiranya tidak, maka ternyatalah DAP gagal membawa aspirasi seluruh majoriti Malaysia.
Sumber: www.rembau.net.my
Langgan:
Ulasan (Atom)