online counter

Khamis, 10 Februari 2011

Utusan Malaysia Online - Rencana

Ahli politik juga perlu dalam jawatan pengurusan atasan GLC

PERBAHASAN usul ekonomi dalam beberapa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, rasa tidak puas hati peranan dan sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memainkan peranan membantu bumiputera dan ketidakprihatinan terhadap dasar kerajaan kerap dibangkitkan.

Pembahas yang mewakili akar umbi UMNO mendesak kepimpinan GLC dipegang oleh orang politik daripada parti itu.

Setelah sekian lama usul itu terpendam tanpa tindakan konkrit, tiba-tiba anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd Yusof mengusulkan supaya ahli politik tidak dilantik mengetuai GLC.

Dalam satu forum kelmarin, Zainal Aznam berpendapat pembaharuan sebenar hanya boleh dicapai jika ada pengharaman menyeluruh sebarang pelantikan ahli politik mengetuai GLC.

Masalah ini ada kaitannya dengan pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda yang mana beliau pernah digantung jawatannya oleh Lembaga Disipin UMNO pada 2005 kerana terbabit dengan politik wang.

Jika segelintir ahli ekonomi melihat pelantikan Mohd Isa menjejaskan pasaran saham, namun kerajaan pula ada kriteria untuk melantik seseorang mengetuai GLC.

Bagi menjelaskan perkara ini, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak terikat kepada sesuatu dasar dalam pelantikan berkenaan, sebagai contoh menolak ahli politik sebagai ketua dalam memimpin sesebuah GLC.

Ini kerana kerajaan akan melantik berdasarkan kemampuan seseorang itu tak kira sama ada orang korporat, bekas pegawai kerajaan atau bekas ahli politik.

Pelantikan Mohd Isa pun bukan memegang jawatan eksekutif yang punya kuasa tetapi sekadar pengerusi. Salahkah beliau dilantik memegang jawatan Pengerusi Felda?

Jika diikutkan akal, idea daripada beliau itu amat diperlukan dalam membantu memajukan masyarakat peneroka Felda sebagaimana dilakukannya dalam membangunkan Negeri Sembilan dahulu.

Jangan kita 'buang' terus seseorang pemimpin kerana kesalahan masa lalunya. Mohd Isa sudah menjalani hukumannya dan sekarang tenaganya masih diperlukan oleh negara. Benarkan beliau menyumbangkan jasa dan bakti untuk memajukan ekonomi orang Felda.

Sebenarnya banyak lagi ahli politik yang berkelulusan tinggi, berpengalaman dalam bidang korporat dan berpengalaman mentadbir jabatan kerajaan boleh dilantik terajui GLC.

Perdana Menteri sendiri menjelaskan, pelantikan seseorang kakitangan ke jawatan pengurusan atasan di GLC sebenarnya berdasarkan kepada merit, pengalaman, kepakaran khusus dan kesesuaian individu untuk memegang jawatan tersebut.

Sesungguhnya, pelantikan dalam GLC bukan berdasarkan kepada latar belakang etnik. Perkara penting ialah memastikan GLC membariskan pengurusan atasan yang benar-benar layak dan berkebolehan.

Ada kalanya pelantikan ahli politik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat GLC diperlukan bagi memastikan keutamaan dasar-dasar kerajaan untuk membantu golongan bumiputera tidak diletak dalam fail paling bawah.

Sememangnya itulah menjadi prinsip dan dasar GLC ditubuhkan.