online counter

Jumaat, 9 Julai 2010

159 Pemuda Bahagian Selesai Mesyuarat Buktikan Kesatuan, Satu Matlamat

Jul 8th, 2010 | By administrator | Category: Berita Pilihan


KUALA LUMPUR 8 JUN – Sebanyak 159 daripada 191 bahagian Pemuda UMNO seluruh negara telah berjaya menyelesaikan mesyuarat masing-masing tanpa sebarang masalah dan memperlihatkan kesatuan pergerakan itu untuk membantu parti mencapai kejayaan pada pilihan raya umum kelak.

Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata masing-masing melontarkan pendapat dan berkongsi pandangan dengan satu matlamat iaitu mencapai kejayaan cemerlang selain merampas negeri yang ditawan pembangkang.

Menurut beliau, ruang yang diberikan kepada perwakilan untuk membahaskan usul digunakan sebaik mungkin dan mereka rata-rata cukup bersemangat untuk terus memperkuatkan pergerakan itu terutama mendekati golongan muda.

“Kita ucapkan tahniah kepada Pemuda bahagian yang telah bersidang dan kita akan meneliti segala usul yang dikemukakan untuk diambil perhatian.

“Apa yang penting sekarang adalah masa untuk melaksanakan tugas dan amanah dalam usaha merealisasikan segala pandangan yang dilontarkan untuk diterjemahkan dalam satu pelaksanaan yang mantap dan bersepadu,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Saiful turut mengingatkan baki Pemuda bahagian yang belum bersidang agar memberikan pandangan dan idea yang bernas bagi memberi nilai tambah kepada pandangan sedia ada untuk memastikan pergerakan itu khususnya UMNO terus mendapat tempat di hati rakyat.

“Inilah masanya untuk kita saling bertukar pandangan dan platform ini perlu digunakan sebaik mungkin khususnya bagi negeri yang ditawan parti pembangkang.

“Segala pandangan dan kepelbagaian strategi perlu diberi tumpuan dan insyaalah, berkat perjuangan kita bersama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah di empat negeri yang kini diterajui pembangkang,” katanya. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan