Perhimpunan bermula jam 11.15 pagi di hadapan Bangunan SSAAS yang lebih dikenali sebagai Bangunan SUK itu bagaimanapun berakhir kira-kira 40 minit kemudian selepas diarahkan bersurai oleh polis.
Sebelum itu, keadaan menjadi tegang seketika selepas beberapa penyokong pakatan pembangkang yang berhimpun di dalam kawasan Bangunan SSAAS mula mengejek kumpulan yang mengadakan demonstrasi di luar bangunan berkenaan.
Tindakan itu akhirnya membawa kepada maki hamun di antara kedua-dua pihak sebelum beberapa penyokong pakatan pembangkang dilihat mula menimbulkan provokasi dengan menyimbah air dan membaling botol air ke arah kumpulan demonstrasi terbabit.
Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahdan, berkata provokasi penyokong pakatan pembangkang menunjukkan mereka gentar dengan kebanjiran rakyat yang mahu mendapatkan keadilan terutama mengenai isu pasir yang dirompak daripada negeri mereka.
Kami tidak faham kenapa mereka cuba memprovokasi kumpulan demonstrasi ini kerana tujuan asal kami membuat demonstrasi hanya untuk menyerahkan memorandum masalah isu pasir di Selangor ini kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, tindakan provokasi penyokong pakatan pembangkang menyebabkan suasana menjadi tegang seketika, katanya ketika ditemui pemberita di pintu masuk Bangunan SSAAS, selepas penyerahan memorandum kepada Menteri Besar.
Memorandum itu secara bersama disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Ghazali; Ketua UMNO bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor, Abdullah Mansor kepada Setiausaha Eksekutif Menteri Besar, Azman Abidin pada jam 11.30 pagi di pintu masuk Bangunan SSAAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan