online counter

Jumaat, 9 Julai 2010

Pemuda Perak, Pahang Perhebat Gerakan Daftar Pengundi Baru




Jul 7th, 2010 | By administrator | Category: Berita Pilihan


IPOH 7 Julai – Pemuda dengan kerjasama Puteri UMNO negeri ini mensasarkan 3,000 pengundi baru setiap bahagian menjelang akhir tahun ini dalam usaha meningkatkan jumlah pengundi berdaftar di kalangan anak-anak muda seluruh negeri Perak.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Maslin Sham Razman berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, pihaknya dnegan kerjasama Puteri UMNO negeri akan memperhebatkan gerakan mengesan mana-mana ahli pergerakan itu termasuk yang bukan ahli UMNO untuk didaftarkan.

Menurut beliau langkah ke arah itu perlu dipergiatkan agar golongan berkenaan menyedari bahawa mereka perlu menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam usaha menyuburkan lagi proses demokrasi di negara ini.

“Kita akan susur perkara ini dengan lebih giat lagi dan insyaalah kita akan adakan pelbagai program dalam usaha mendekati golongan tersebut supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya umum ke -13 kelak.

“Dan Alhamdulillah, bermula Januari hingga Jun lalu, Pemuda UMNO Perak telah berjaya mendaftarkan lebih 5,000 pengundi muda yang baru dan ini merupakan satu kejayaan kepada kita. Namun kita masih tidak berpuas hati dan tidak leka untuk meneruskan gerakan yang lebih bersepadu,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.



Sementara itu, Pengerusi Bio Keahlian Dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO Pahang, Datuk Mohd Azizan Che Omar pula berkata, Pemuda UMNO negeri itu telah berjaya mendaftarkan lebih 7,000 pengundi muda yang baru bermula Januari hingga Jun lalu.

Menurut beliau, pihaknya telah lama bergerak di akar umbi dalam usaha mengesan mana-mana golongan belia yang tidak lagi didaftarkan sebagai pemilih yang sah.

“Tumpuan kita bukan sahaja kepada ahli Pemuda UMNO tetapi secara menyeluruh. Ini penting agar bukan sahaja ahli kita sahaja yang didaftarkan tetapi turut merangkumi belia lain.

“Kalau ahli UMNO sahaja, kita tidak boleh mencapai kemenangan dengan cemerlang tanpa dibantu oleh masyarakat luar daripada parti kita. Sebab itulah kita turut mengesan mana-mana belia yang layak untuk didaftarkan kerana kadangkala mereka ini terlupa atau tidak mengambil tahu soal ini,” katanya.

Kata beliau lagi, setiap program UMNO yang diadakan di negeri berkenaan akan turut disertai oleh kaunter khas daftar ahli dan pengundi baru.

“Inilah yang kita sedang usahakan selain pelbagai program yang mengikut citarasa mereka. Ini penting agar program yang kita adakan dihadiri oleh golongan berkenaan dan bukannya program yang syok sendiri,” katanya. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan