online counter

Isnin, 19 Julai 2010

Penyelarasan harga bahan api dan gula..


1. Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara pada tahun lepas, kerajaan di
bawah pimpinan saya telah memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk melonjakkan
pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

2. Kita telah membuka sektor-sektor penting dalam ekonomi untuk pelabur asing,
menyediakan persekitaran... See More pelaburan yang lebih kondusif,
mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 24 bilion, mengurangkan pembaziran
dan menangani ketidakcekapan. Hasilnya, kita dapat melihat kebangkitan ekonomi
dengan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam suku pertama 2010, pencapaian terbaik
kita dalam dekad ini.

3. Ketika mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-10, saya telah mengatakan bahawa
matlamat negara bukanlah semata-mata untuk mengeluarkan kita dari krisis
ekonomi. Cita-cita kita untuk negara dan masyarakat adalah lebih tinggi dari
itu. Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan
berdaya saing untuk meningkatkan kesejahteraan kerana rakyat.



4. Model Baru Ekonomi (MBE) memperuntukkan cadangan untuk melabur dan
mengembangkan sektor strategik yang penting, mengemas kini infrastruktur dan
mewujudkan peluang pelaburan bagi sektor swasta yang bertujuan meningkatkan
Pendapatan Negara Kasar. Namun begitu, pertumbuhan sahaja tidak akan membantu
kita mencapai matlamat MBE. Kerajaan telah menyatakan bahawa kita mesti
mengkaji semula pemberian subsidi bagi mengelak herotan dalam dagangan. Ia bagi
memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan lebih
banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah
jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

5. Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa
pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan
Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai
sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang
ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta
untuk tahun ini.



6. Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini khususnya diasaskan
daripada tiga perkara penting:


a. Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga
kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan
tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita
sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana
bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang
berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga.
Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan
berbanding isi rumah.


b. Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti
penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling
murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap
ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang
tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus
diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah
meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya
perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.


c. Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula.
Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan
cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40
peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan
jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu
isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya,
adalah langkah yang tepat.

7. Ini adalah sebahagian dari sebab kenapa kerajaan memilih untuk menyelaraskan
semula harga gula dan bahan bakar. Sebaliknya, subsidi bagi bidang pelajaran
dan kesihatan akan terus dipertahankan. Ini adalah bidang perkara yang penting
bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk
mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan.

8. Keputusan untuk menyemak semula pemberian subsidi ini dibuat bersama rakyat
melalui aktiviti yang dijalankan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi.
Kerajaan telah mengadakan proses perundingan dengan rakyat sebelum membuat
keputusan ini. Tidak lagi hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi
beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi,
undian on-line, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan
sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

9. Berdasarkan proses ini, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel
akan diselaraskan sebanyak 5 sen seliter bagi semua sektor. LPG akan
diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara
terkawal. Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram.



10. Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan
lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga
bahan bakar dan gula di negara ini masih lagi yang paling rendah di rantau ini
walaupun adanya penyelarasan harga ini.



11. Selain itu, penyelarasan harga barang ini akan menyumbang kepada usaha kita
untuk mengukuhkan urusan kewangan kerajaan iaitu mengurangkan defisit kewangan
negara. Ia membolehkan kita menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor
yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Ini termasuklah pengumuman
kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar
miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk
menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak
1Malaysia. Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga
Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar.

12. Sebenarnya, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling
minima berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal
Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan
rakyat dan keperluan menguruskan defisit negara.



Pejabat Perdana Menteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan